Thursday, January 27, 2011

Syarikat Digesa Pupuk Budaya Pembelajaran Sepanjang Hayat

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Syarikat di Malaysia digesa melatih semula dan meningkatkan kecekapan pengurusan staf mereka melalui pembelajaran
sepanjang hayat sebagai persediaan menghadapi cabaran global dan memperkukuhkan ekonomi negara.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam berkata amalan seumpama itu akan menjamin peluang lebih baik untuk syarikat mendapat akreditasi daripada
badan antarabangsa dan seterusnya memperoleh pengiktirafan dunia.

"Proses pembelajaran perlu berterusan dan kita perlu sentiasa meningkatkan kemahiran kita supaya kita terus relevan dalam persaingan global," katanya
kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurus-pengurus Profesional Antarabangsa 2011 di sini Isnin.

Katanya kerajaan memberikan insentif kepada syarikat tempatan untuk menyediakan latihan.

"Kerajaan memberikan peruntukan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) bagi latihan di mana kerajaan akan memberikan RM1 bagi setiap RM1 yang
dibelanjakan oleh SME untuk melatih staf pengurusan mereka," katanya.

Bagaimanapun, katanya perkara itu hanya terpakai kepada sektor swasta kerana sektor kerajaan sudah mempunyai latihan sendiri melalui Institut Tadbiran
Awam Negara (INTAN).

Beliau berkata iklim pelaburan dunia mengalami perubahan pesat dan dengan itu syarikat tempatan perlu lebih progresif dengan mengamalkan sistem
pengurusan terkini dan tidak lagi bergantung kepada sistem pengurusan tradisional.

"Jika kita tetap menggunakan sistem yang telah ketinggalan zaman, mungkin ia akan menjadi tidak relevan, Jadi bagi memastikan transformasi berlaku dan
memastikan kita tidak ketinggalan, kita perlu berubah dan melangkah ke peringkat seterusnya.

"Kita juga mahu meliberalisasikan mekanisme, mengurangkan kerenah birokrasi dan menjadikannya lebih menarik untuk bakat tempatan di luar negara untuk
pulang berkhidmat di tanah air supaya Malaysia akan menjadi tempat yang menghimpunkan tenaga kerja yang mempunyai banyak idea bernas, berkemahiran dan
berpengetahuan."

No comments:

Post a Comment